Sunday, May 31, 2009

Sebagai ahli UMNO, saya tidak nampak lagi masa depan parti orang Melayu itu. Saya hanya menunggu saat-saat kematiannya. Memang saya sudah pasrah pada takdir. Saya sudah begitu bersedia melihat jenazah UMNO dikapankan.

Pada suatu ketika dulu, saya begitu taksub pada UMNO. Saya pernah bergaduh sampai terkoyak baju pasal UMNO. 'Seteru' politik saya yang sama-sama belajar di ITM (sekarang UiTM) sekarang begitu menunjul dalam politik Pakatan Rakyat sekarang. Sebaliknya, saya masih hanyut dengan fantasi UMNO.

Perkembangan politik semasa, terutamanya apa yang sedang berlaku dalam UMNO sudah cukup membuat saya terjaga dari buaian mimpi tentang UMNO. Baru saya perasan bahawa UMNO adalah bukan wadah perjuangan orang Melayu sebenarnya. UMNO rupanya adalah alat gulungan elit Melayu yang mempergunakan orang Melayu. Perjuangan bukan untuk orang Melayu secara menyeluruh. Tumpuan mereka adalah setakat mengekalkan kuasa gulungan elit tersebut.

Retorik 'ketuanan Melayu' memang begitu lunak untuk orang Melayu terperdaya. Saya sendiri begitu intim dengan bisikan sedemikian. Orang profesional macam saya boleh digula-gulakan, apakan pula orang Melayu dikampung-kampung. Memang UMNO jahat dalam hal ini. Nawaitu pemimpin UMNO jelas terarah pada pengekalan kuasa.

Bagaimana pun manusia tidak selalu bodoh. Anggapan UMNO terhadap kecerdikan orang Melayu kini mula tersasar. Biar pun UMNO cuba menggunakan semua jentera kerajaan terutama media massa untuk memesungkan anggapan orang Melayu, usaha mereka sudah mula kurang berkesan. Kepandaian dan kepakaran Dr. Rais Yatim untuk tujuan sedemikian tetap gagal. Malah dalam keadaan tertentu, Dr. Rais Yatim tampak kebinggungan. Tidak salah jika dikatakan, dalam banyak hal, Dr.Rais Yatim sudah hampir menyerupai Zainudin Maidin, bekas menteri penerangan sebelum ini.

Bukan saya tidak lagi setia pada UMNO atau mengkhianatinya. Tetapi sebaliknya. UMNO atau pemimpin-pemimpin UMNO yang terang-terang mengkhianati orang seperti saya. UMNO gagal sama sekali memahami hasrat orang Melayu seperti saya. Saya mahukan sebuah negara yang berdaya maju. Saya juga mahukan pemimpin yang ikhlas dan bukan penipu.

Dari pengamatan saya, UMNO sekarang sudah amat dibenci oleh kebanyakan orang Melayu. Sebabnya, pemimpin UMNO lebih mementingkan diri masing-masing. Masih beranggapan rakyat boleh kenyang dengan retorik politik. Penyakit UMNO kini bertambah parah bila pemimpin-pemimpin atasan UMNO terdiri dari mereka yang penuh kuman. Beberapa kerat pemimpin UMNO sudah tidak boleh menyelamatkan UMNO. Orang seperti Muhyiddin atau Zahid Hamidi tentunya tidak berdaya menghilangkan persepsi kotor yang hinggap pada Najib atau Nazri Aziz.

Dengan kemunculan Mahathir dalam UMNO membuatkan kebencian pada UMNO lebih semarak. Kegelocohan puak Mahathir membalas dendam pada Pak Lah memungkinkan lebih cepat keranda UMNO diusung keliang lahad. Pertelingkahan dan perebutan kuasa dalam UMNO antara orang Sabah dengan orang Semenanjung pasti mudah biak. Peranggai buruk orang Sabah yang mudah meroyan demi kuasa pasti lebih merosakkan UMNO keseluruhannya. Yang hampir pasti, penyakit dalam UMNO sudah tidak ada penawarnya lagi.

1 comment:

wak-murai said...

salam

sayang seribu kali sayang agak terlambat anda terjaga dari mimpi.

sekarang generasi muda yang akan cuba menentukan hala tuju negara

jika sudah dialam nyata kejutkan lah mereka yang masih dibuai mimpi

supaya generasi akan datang tidak melukut di tepian gantang