Sunday, October 19, 2008

Pak Lah v Mahathir

Mungkin kali ini Pak Lah akan tunjukkan taring. Dia tak mahu dikatakan lembek lagi.


Bukan itu sahaja, Pak Lah kena selamatkan menantunya yang sedang lemas sekarang. Kalau tak, Khairy akan jadi arwah. Khairy bakal dibuang kelaut oleh kuncu-kuncu Najib dan Muhyiddin.


Pak Lah masih ada kuasa. Tempoh sebelum Mac, 2009 masih banyak boleh dimanafa'atkan. Malah kalau dia cerdik sedikit, Pak Lah masih mampu bertahan selepas itu. Kalau tidak, Pak Lah boleh buat jasa pada Ku Li untuk dijadikan bahan kenangan.


Sebagai Presiden dan PM, kuasa Pak Lah bagaikan suatu takdir dikalangan seluruh umat UMNO. Termasuklah Najib dan Muhyiddin. Keghairahan Najib dan Muhyiddin boleh disekat semudah polis menyaman pebuncing motosikal. Malah, Pak Lah boleh membisukan keceluparan Mahathir dengan kuasa yang ada. Barangkali, Mukriz juga boleh terpelanting dari persaingan dengan Khairy kalau Pak Lah mahu.


Mahathir, Najib dan Muhyiddin sebenarnya sudah dapat menconggak nasib mereka kalaulah Pak Lah gunakan kuasa. Tetapi pada masa yang sama, mereka masih mengharap agar Pak Lah terus terlena seperti biasa.


Mahathir dan Muhyiddin telah memalukan Pak Lah. Najib pula terbukti menikam Pak Lah dari belakang. Malah sudah ramai penyokong Pak Lah telah belot. Mereka nampak Pak Lah bagaikan patung sahaja. Pada mereka, Pak Lah sudah hilang kudrat. Pak Lah sudah tidak lagi diperlukan.


Busuk-busuk Pak Lah, rupanya busuk lagi mainan Muhyiddin dan Mahathir. Najib tentulah lebih busuk. Najib sudah berlangau. Tetapi disebabkan mentera Mahathir, Najib seolah-olah menjadi seorang wali dikalangan umat UMNO.


Pak Lah kena cepat bertindak terhadap Mahathir, Muhyiddin dan Najib. Pak Lah tidak boleh lagi mencari dalil untuk tidak menahan ketiga-tiga durjana UMNO itu. Tindakan Najib dan Muhyiddin berkomplot dengan Mahathir adalah satu perbuatan belot terhadap kepimpinan UMNO kerana Mahathir adalah orang luar. Samalah jika mana-mana pemimpin UMNO yang cuba bertaut pada Anwar Ibrahim.


Pak Lah mesti gunakan kuasanya sebagai presiden dan PM untuk bertindak terhadap Najib dan Muhyiddin. Kalau Mahathir boleh buat pada Anwar Ibrahim dulu, kenapa tidak Pak Lah ?

Sebenarnya Pak Lah lebih diwajarkan jika bertindak terhadap Muhyiddin dan Najib sekarang. Begitu juga tindakan terhadap Mukriz yang turut berpakat dengan bapanya yang kini hanyalah dikira orang luar. Dengan tindakan sedemikian, Pak Lah akan dapat menyelamatkan dirinya dan sekali gus kedudukan menantu kesayangannya.


Dalam manisfesto Najib untuk jawatan presiden, terang-terang Najib menyatakan yang Mahathir akan dilantik menjadi orang terpenting. Dengan kehadiran Mahathir kembali dalam senario politik negara, Pak Lah pasti bakal menerima kecelakaan yang amat parah.


Dendam Mahathir pada Pak Lah dan Khairy tidak pernah padam. Malah kini lebih semarak. Tindakan Pak Lah menamatkan semua projek mega Mahathir seakan menjadi lahar dalam jiwa Mahathir. Beberapa tindakan Khairy termasuk memperli Mahathir dihadapan beberapa pelajar di luar negara menambahkan lagi kehangatan lahar itu. Lahar itu kini sudah cukup panas untuk diletupkan. Mahathir seakan tidak sabar-sabar lagi hendak menyimbah lahar itu kepada Pak Lah dan Khairy.


Senario politik UMNO sekarang memang perlukan ketangkasan dan kelicikan. Setakat ini, Najib dan Muhyiddin kelihatan begitu berjaya bertindak untuk mencapai matalamat masing-masing. Tanpa kuasa seperti apa yang ada pada Pak Lah, mereka tetap berjaya. Bayangkanlah, kalau mereka sudah dapat kuasa dari Pak Lah !. Usahkan Khairy, Pak Lah sekali pasti diusir jauh-jauh.


Tidak boleh dinafikan bahawa Pak Lah juga ada kecerdikan dalam berpolitik walaupun tidak cukup licik. Kalau tidak, masakan dia boleh ketahap sekarang. Namun, kecerdikan Pak Lah tidaklah setanding dengan kecerdikan Mahathir. Mahathir bukan sahaja cerdik dan licik tetapi pembelit. Belit Mahathir lebih teruk dari ular sawa. Sifat ’killer instinct’ yang sentiasa dianuti Mahathir telah menjadikan dia cukup berjaya. Mahathir begitu senonim dengan ular sawa yang membelit dan membunuh mangsanya.



Pak Lah sebenarnya tidak ada banyak pilihan. Pak Lah mesti pergi selepas bulan Mac, 2009 nanti. Kalau Pak Lah tidak berhenti, dia akan kehilangan kredibiliti. Malah Pak Lah kena buktikan yang dia adalah manusia yang berpegang pada janji kali ini. Tetapi, Pak Lah tidak pergi dengan tangan kosong. Pergi Pak Lah ketika itu bakal diiringi dengan langkah seorang wira. Wira yang telah berjaya menumbangkan pembelot UMNO.


Untuk menjadi wira UMNO, Pak Lah kenalah bertindak terhadap pembelot-belot seperti Najib, Muhyiddin, Mukriz dan ramai lagi . Banyak alasan untuk menyembelih mereka. Mereka semua banyak dosa. Jika dibolehkan melihat rekod mereka dipapan Luh Mahfuz, tentu seluruh muka bumi Malaysia ini bakal menjadi hamparan untuk merekod segala kegiatan jahat mereka.


Pak Lah mesti ada keberanian untuk menentang arus. Sesekali jadilah jantan. Buatlah sesuatu walaupun sekali untuk menyukakan rakyat. Sekarang rakyat begitu mahukan perubahan dalam semua sudut kehidupan di Malaysia. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang lebih terbuka dan tidak begitu terikat dengan nilai-nilai lama seperti sekarang ini. Dalam kata mudah, rakyat sudah jelak dengan gaya pemerintahan BN/UMNO.


Pasti Pak Lah akan disanjungi oleh rakyat dimasa akan datang jika dia berani mengubah wajah sistem berpolitik negara. Pak Lah tidak akan dapat berjasa lagi pada sesiapa pun kalau dia masih mahu berharapkan pada UMNO. Pak Lah kena sedar bahawa umat UMNO kini sudah belot pada Pak Lah. Mereka mahu menjadikan Pak Lah sebagai binatang korban mereka pada hari raya korban yang bakal disambut tidak lama lagi.


Dalam keadaan sekarang, Pak Lah hanya boleh berharap pada Ku Li atau Anwar Ibrahim sahaja. Jika Pak Lah tahu mengambil kesempatan dari kedua-dua mangsa Mahathir ini, Pak Lah bakal ditabalkan sebagai wira rakyat. Nama Pak Lah pasti tersemat dalam lipatan sejarah Malaysia moden nanti.


No comments: