Asal usul raja iblis dikatakan berasal dari 'mainan' para bomoh atau pawang. Raja iblis dikatakan juga ramai. Jumlahnya jauh lebih besar seluruh raja-raja yang masih berkuasa di planet dunia.
Dikalangan raja-raja iblis yang paling berpengaruh sekarang adalah seekor raja iblis yang kini sedang cukup berkuasa di Amerika Syarikat. Seekor lagi raja iblis yang tidak kurang handalnya terdapat di Malaysia.
Asal usul kedua-dua raja iblis tersebut adalah dari seorang yang dulunya menetap di Tanah Melayu (kini Malaysia). Nama panggilannya di kampung hanyalah Badi. Badi tidak ada surat beranak atau pun kad pengenalan. Badi kini menetap di Amerika Syarikat. Dia tinggal bersama dengan raja iblis yang menetap di sana. Tahun ini, usia Badi akan mencecah 68 tahun.
Kisah Badi di kampung cukup pedih. Ibunya meninggal dunia ketika Badi berumur 2 tahun. Waktu usianya meningkat 7 tahun, bapanya pula mati. Tanpa adik beradik dan saudara mara, Badi hidup bersendirian. Tinggal dirumah tinggalan bapanya. Beratap nipah dan belantaikan batang pinang.
Kisah keturunannya, Badi hanya tahu dari bapanya. Sebelum bapanya meninggal dunia, Badi selalu diceritakan siapa asal usulnya. Bapa dan ibu Badi datang ke Tanah Melayu bersendirian. Mereka lari dari keluarga masing-masing akibat cinta mereka tidak mendapat restu keluarga. Mereka datang ke Tanah Melayu dan membina sebuah punduk dipinggir hutan hujung kampung. Mereka hidup sebagai pasangan suami isteri walaupun tidak pernah diijab kabulkan.
Badi jarang sekali keluar ke kawasan kampung berdekatan. Hampir tidak ada sesiapa orang kampung di situ ambil tahu pasal Badi. Malah seingat Badi, orang kampung tidak pernah datang kepondoknya.
Kehidupan Badi banyak dihabiskan bersama dengan semua mahluk tuhan yang selalu bertandang ke pondoknya. Badi bercakap sendiri. Badi akan menyapa pada semua binatang yang lalu didepannya. Badi akan katakan apa sahaja yang boleh disebut pada pokok-pokok yang dipegangnya.
Badi membesar dengan makanan yang keluar dari perut bumi. Ubi, keledek, tebu dan berbagai tanaman yang tumbuh dekat pondoknya akan jadi bahan makannya. Semuanya seakan berlaku tanpa diatur atau di fikirkan. Badi terus membesar. Tubuhnya menjadi kian besar dan kuat. Rupanya tetap tidak terurus tapi, Badi sudah mula rasai nalurinya seakan-akan menyuruhnya keluar dari terus menetap di pondok dipinggir hutan kampung itu.
Badi keluar dari pondoknya tanpa sebarang apa-apa bekalan. Pagi masih lagi terlalu awal. Kedinginan pagi itu seakan-akan mencucuk-cucuk tubuh Badi. Namun berbekalkan semangat yang kuat serta dipacu oleh naluri yang entah dari mana munculnya, Badi ambil keputusan keluar dari pondoknya untuk selama-lamanya. Namun, Badi sendiri tidak tahu arah mana tujuannya. Badi terus melangkah. (Bersambung)
No comments:
Post a Comment