Monday, June 2, 2008

Tidak mustahil PAS akan tinggalkan PR jika ramai MP BN keluar dari barisan Pak Lah. PAS akan meminta jawatan PM diberikan kepadanya. Hanya dengan merebut peluang sedemikian sahaja PAS akan merasakan kuasa tertinggi dinegara ini.

Ucapan Muhammad Sabu, salah seorang naib presiden PAS boleh dijadikan 'inference'. Malah beberapa pujian Muhammad Sabu pada Mahathir sejak kebelakangan ini bolehlah ditafsirkan niat tersirat para pemimpin PAS. Sikap beberapa pemimpin PAS yang kurang disenangi oleh Anwar Ibrahim juga sering terserlah.

Percaturan politik yang dimainkan Mahathir untuk memerangkap Pak Lah dan Anwar Ibrahim tidak begitu dikesan oleh pemimpin PAS. Mahathir memang faham sangat kebodohan beberapa pemimpin PAS sejak dari dulu lagi. Mahathir tahu PAS tidak akan ingat semua caciannya pada PAS semasa dia jadi PM dulu. Pada Mahathir, pemimpin PAS memang layak dijadikan haiwan korban sahaja.

PAS bagaimana pun masih bernasib baik kerana mempunyai beberapa orang pemimpin yang celik pada politik UMNO. Pemimpin-pemimpin itulah yang menjadikan PAS boleh diterima ramai rakyat termasuk rakyat non-muslim. Kalaulah PAS masih serahkan kuasa bulat-bulat pada pemimpin seperti Hadi Awang atau Hassan Sukri, pasti PAS tidak menjadi parti PAS seperti apa yang ada pada hari ini.

Kelicikan Mahathir bermain politik jangan sesekali dipandang remeh. Pada usia yang biasanya dikira sudah 'habis', Mahathir masih kelihatan lebih gagah dari Pak Lah. Tidak juga dikira keterlaluan, jika Mahathir boleh dikatakan jauh lebih bijak dari mana-mana pemimpin-pemimpin PAS. Maka itu, tidak akan jadi sesuatu yang memeranjatkan jika Mahathir akan berjaya menakluk PAS dalam masa terdekat ini. Mahathir tahu hanya PAS sahaja yang boleh memberikan dia talian hayat untuk terus bersuara. Mahathir pasti akan bermain silat mata dihadapan para pemimpin PAS yang sememangnya amat dikenali sebagai politikus baik.

Apa pun, PR kenalah bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan seperti dalam senario di atas. UMNO pasti buat kenduri kesyukuran jika jerat Mahathir terhadap PAS itu berlaku. Mahathir hanya hendak pastikan PR tidak berjaya mendapatkan kuasa diperingkat persekutuan. Mahathir mahu pastikan Anwar tidak akan jadi PM. Roh Mahathir akan hanya tidak terawang-awang jika hajat hatinya untuk melihat Pak Lah dan Anwar tersungkur pada perangkap yang memang sentiasa dipasangnya.

No comments: